.::♥♂ Siapa Mereka di LuaR saNa yanG beRhak MemBuat aQu berduka dan Nestapa. aQu tidak akan BENARKAN! Mereka TIDAK BERHAK!!♂♥::.
RSS

Wednesday

Konsep Satu Malaysia

BAHAGIAN 1 : BUDAYA KECEMERLANGAN

"Saya benar-benar percaya bahawa demi mengubah Malaysia dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi, satu nilai yang melungkungi nilai-nilai lain yang akan memastikan Malaysia menuju trajektori yang betul ialah untuk kita menanamkan Budaya Kecemerlangan".

"Ini kerana jika anda mempunyai satu set nilai-nilai yang menandakan anda mempraktikkan Budaya Kecemerlangan, segalanya akan berkembang dan beralir dari Budaya tersebut. Secara dasar, ianya satu usaha berterusan. Namun anda perlu menjanakan perkara-perkara yang akan mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, dengan memperkenalkan dengan lebih banyak prinsip meritokrasi. Dari situ, anda akan menegaskan kepentingan prestasi, dan prestasi itu banyak berpaut kepada Budaaya Kecemerlangan".

Berkenaan aspek-aspek Budaya Kecemerlangan

"Saya rasakan kita perlu mengenalpasti subset-subset yang berkaitan dengan Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, bagi dikenali sebagai sebuah masyarakat yang percaya kepada prinsip ketepatan. Ianya satu subset Budaya Kecemerlangan. Dalam erti kata lain, anda mementingkan ketepatan. Ketepatan dari segi pengukuran, dari segi menguruskan masa, dari segi jadual penyampaian, dari segi kualiti. Jika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kualiti dan kecemerlangan, maka setiap produk yang datang dari Malaysia, setiap perkhidmatan yang berasal dari Malaysia akan dilihat seperti mempunyai kualiti dan nilai cemerlang yang diinginkan oleh dunia".

"Saya harap dapat memberi penekanan kepada kepimpinan berasaskan prestasi. Dalam erti kata lain, jika anda mahu mengubah Malaysia, perubahan mestilah berteraskan kepimpinan yang berasaskan prestasi. Ini bermakna anda mempunyai matlamat-matlamat khusus, dan prestasi anda boleh diukur. Anda boleh mengawas, anda boleh memantau, anda boleh mengambil tindakan pembetulan. Anda boleh juga membuat sebarang perubahan jika perlu. Tetapi ianya penting untuk kita merasakan bahawa kita sedang mengalami kemajuan, bahawa kita semakin maju".

"Maksud saya,  pengertian waktu, ‘waktu Malaysia’, yang sering dijadikan bahan jenaka orang ramai. Tentang menjaga masa, ketepatan masa dalam apa jua yang anda lakukan. Saya rasa ianya satu perkara yang boleh difahami semua orang dan dilihat dalam gaya hidup semua rakyat Malaysia. Ini antara perkara-perkara yang kita boleh ketengahkan, mengingkatkan kesedaran untuk merubah di mana perlu. Dan dari segi cara untuk membatinkan perubahan ini, contohnya, pernyataan seperti ‘lebih kurang’ – ia sepatutnya tidak wujud lagi dalam leksikon perkataan-perkataan yang kita gunapakai seharian. Kita perlu lebih tepat dalam setiap perbuatan, pertuturan, dalam apa sahaja yang ingin dicapai".

Tentang mempelajari Budaya Kecemerlangan

"Arwah ayahanda saya seorang ahli motivasi, biarpun saya tidak menyedari hakikat itu pada awalnya. Tetapi secara halus, beliau menerapkan dalam jiwa kami satu keinginan untuk berjaya dan menjadi yang terbaik di kalangan rakan seperjuangan, contohnya di dalam bilik darjah. Arwah mendirikan satu skim ganjaran, sejumlah wang yang kecil. Jumlahnya tidak lumayan, hanya sedikit wang yang akan dihadiahkan jika kami berjaya menduduki tempat pertama di dalam mana-mana ujian atau peperiksaan. Ianya bukan tentang ganjaran wang, tetapi jelas kegembiraan yang beliau rasai bila anda menjadi pelajar terbaik di dalam kelas, dan kekecewaan di riak wajahnya jika anda tidak berjaya. Itulah titik tolak dalam hidup saya untuk menyedari betapa pentingnya untuk  berjaya dan berusaha dengan gigih dalam segala perbuatan".

BAHAGIAN 2 : KETABAHAN

Kehidupan bukan semuanya mudah. Sebarang tanggapan bahawa kehidupan adalah lakaran lurus yang sentiasa mendaki tanpa penghujungnya pada saya adalah suatu salah anggapan. Seseorang itu hendaklah menerima kehidupan sebagai satu siri naik dan turun.

Tetapi jika anda adalah seorang yang percaya kepada kerja keras, sepenuhnya berdedikasi, dan jika anda tabah menghadapi segala dugaan, maka apabila anda berhadapan dengan sebarang rintangan, semestinya anda akan berupaya mengharungi rintangan yang dihadapi dan berupaya meletakkan diri anda ke pangkal jalan, anda perlu menghargai dan memahami bahawa ada masa-masanya kesukaran perlu dihadapi.

Begitu jugalah Malaysia sebagai sebuah negara, kita telah berhadapan dengan berbagai krisis sebelum ini, sama ada krisis kewangan, menentang komunis atau berhadapan dengan waktu-waktu bergolak di dalam sejarah kita. Namun pada setiap keadaan kita telah berjaya mengharungi krisis tersebut dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah negara. Tetapi semua itu telah dicapai kerana kita telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada permasalahan tersebut. Kita telah berkerja dengan gigih dan sentiasa menghadapi rintangan dengan ketabahan dan akhirnya membuktikan bahawa para pewaham kita adalah salah.

Tentang ketabahan mengharungi perubahan peribadi

Disepanjang kehidupan saya, saya sentiasa perlu berusaha lebih daripada biasa demi membuktikan kemampuan diri kerana saya tidak mahu orang lain memandang kepada saya dan berkata "dia berada di situ kerana nama, atau nama keluarganya melonjakkannya ke situ".  Benar, saya memiliki kelebihan tersebut, namun pada masa yang sama ia seakan satu bebanan kerana anda perlu sentiasa membuktikan bahawa anda wajar mendapat semua itu. Malah saya sentiasa menyedari bahawa saya perlu menunjukkan saya mampu melakukannya, dan melakukannya dengan baik. Dan dalam hal kekecewaan peribadi, rasa saya yang paling memilukan dalam ingatan adalah kekecewaan politik yang saya alami di kawasan saya sendiri pada 1999, apabila saya menang tipis dengan majoriti yang sangat kecil iaitu 241.

Pada masa itu, ramai yang berkata tidak lama lagi saya akan menjadi sejarah, dan lebih daripada itu sebahagian daripada mereka mencadangkan supaya saya bertukar kawasan. Tetapi saya kekal berpendirian teguh dan menyatakan pada diri sendiri walau apa sekali pun saya akan terus berjuang. Jika saya perlu jatuh rebah, saya akan rebah dalam perjuangan. Dan saya menyatakan pada diri sendiri saya boleh membuktikan bahawa para pewaham adalah silap dan nah, lihatlah, dalam jangka masa 4 tahun, majoriti yang kecil, majoriti tipis 241 telah dijelmakan kepada majoriti besar berjumlah 22,922 dan sebagaimana yang anda ketahui, pada Pilihan Raya Umum yang lepas saya mencapai kejayaan terbaik dari segi majoriti BN untuk sebarang kawasan pemilihan Parlimen apabila saya berjaya meraih 26,464. Itulah saiz majoriti yang saya perolehi. Tetapi saya tidak fikir mampu mendapat majoriti sebegitu besar jika tidak kerana kekecewaan pada 1999. Apabila mengalami kekecewaan tersebut, saya menyedari perlunya melakukan lebih lagi. Saya perlu menjadi lebih kreatif serta perlu membawa pendekatan yang berbeza, dan semua itu telah menghasilkan perubahan dan peningkatan tersebut, peningkatan besar yang menakjubkan.

BAHAGIAN 3 : PENERIMAAN

Tentang kepentingan penerimaan berbanding toleransi

Saya rasa terdapat perbezaan yang agak ketara di antara keduanya (toleransi dan penerimaan). Apabila anda menyebut toleransi, anda tidak berapa sukakannya, tetapi tetap menerimanya kerana anda tiada pilihan. Tetapi jika anda bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa anda menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif.

Pada saya adalah penting bagi kita untuk beralih dari konsep toleransi semata-mata ini kepada penerimaan.  Penerimaan dari segi anda bersedia untuk menerima sebarang perkara. Jika anda sanggup menerima sebarang perkara, anda mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka saya rasa kapasiti anda untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih baik berbanding toleransi semata-mata.

Pada saya itu adalah penting kerana selepas itu anda tidak lagi merasa terbeban dan anda tidak dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang negatif dan mahu pula melihat kepada kemampuan terbaik yang boleh diberikan oleh seseorang itu. Inilah yang kita perlukan untuk Malaysia. Kita perlu mendapatkan yang terbaik daripada bangsa Melayu, terbaik daripada bangsa Cina, bangsa India, semua kaum lain dan mengadun semua ini   agar secara terkumpulnya kita akan menjadi jauh lebih besar berbanding bilangan kelompok kaum secara individu.

Tentang peranan kerajaan dalam memupuk penerimaan

Saya rasa kita perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan cara yang mencerminkan komitmen kita. Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang membantu mereka yang miskin, kita mesti membantu mereka yang miskin dalam semua golongan masyarakat. Dan pada saya golongan miskin dalam semua golongan masyarakat wajar dibantu.  Maka semua program dan peruntukan kewangan kita wajib mencerminkan keperluan untuk mengatasi masalah golongan miskin merentasi semua lapisan etnik dan kaum.Itu adalah sebagai satu contoh polisi di peringkat tersebut. Terdapat juga pertimbangan lain, contohnya membangunkan bakat di Malaysia. Pada saya setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina. Sistem sedia ada kita, sistem pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan, semua peluang tersebut hendaklah mencerminkan semua ini, bahawa tidak terdapat sebarang had. Had tidak ditentukan kerana latar belakang etnik anda. Had ditentukan adalah kerana keupayaan peribadi anda sendiri.

BAHAGIAN 4 : PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan dan disepanjang sejarah kita telah melihat hanya empayar yang berteraskan akal yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa. Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan tidak mampu bertahan. Maka apabila anda bercakap tentang pendidikan dan pengetahuan, ia mesti dilihat dalam konteks holistik. Ia juga mesti disepadukan dengan nilai.

Anda mesti memiliki masyarakat yang menempatkan pendidikan dan pengetahuan di mercu segala yang lain. Bukan saja kerajaan, tetapi juga masyarakat sebagai satu nilai. Sebagai contoh, budaya membaca. Jika anda hanya berharap kepada buku teks formal, anda tidak akan menimba ilmu sebagaimana sepatutnya. Tetapi jika diri anda berbudaya membaca, tabiat membaca ini sama ada melalui buku atau pun internet, maka anda akan berupaya membuka minda masyarakat Malaysia. Dan saya ingin melihat minda rakyat Malaysia berterusan terbuka.

Kita dikekang oleh kenyataan bahawa kita mempunyai aliran (pendidikan) yang berbeza di dalm negara. Kita tidak mempunyai aliran tunggal dan dengan demikian, kita tidak mempunyai aliran kebangsaan. Sedangkan aliran kebangsaan sendiri telah ditakrifkan semula untruk memasukkan sekolah vernakular. Ia menjadi kedua-duanya kekuatan dan masaalah dan cabaran kepada kita kerana kita tidak berpeluang untuk membolehkan rakyat Malaysia membesar bersama melalui satu saluran pendidikan dari segi fizikalnya, sebaliknya mereka akan diasingkan. 95 peratus daripada bangsa China akan memasuki sekolah China dan 97 peratus daripada bangsa Melayu akan memasuki sekolah kebangsaan. Maka kita akan kehilangan peluang. Namun apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan terdapatnya peluang untuk kita berinteraksi dengan melihat kepada kurikulum dan menekankan kepada nilai bersama, agar walau pun kita terpisah secara fizikalnya, tetapi jika dipenuhi dengan nilai sistem yang serupa, pada satu peringkat masa diharap kita akan bertemu pada satu titik persamaan. Apabila kita bertemu dalam erti kata fizikalnya, kita akan berupaya untuk menghargai satu sama lain dengan lebih baik lagi.

BAHAGIAN 5 : INTEGRITI

Oleh : YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Pada saya satu cara terbaik untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ini adalah dengan berlaku jujur kepada rakyat. Bercakap benar kepada mereka. Jika anda telah melakukan dengan baik, maklumkan polisi yang dilaksanakan adalah betul. Jika polisi tersebut tidak menjadi, maka anda sewajarnya berani untuk menjelaskan kepada mereka, begini…kita telah melakukan kesilapan tetapi kita merancang untuk melakukan lebih baik lagi, kita mahu memperbetulkan kesilapan ini.

Saya rasa rakyat akan menghargai tindakan tersebut. Walaupun anda berada di dalam kerajaan, anda hanyalah manusia dan manusia melakukan kesilapan. Kuncinya ialah bukannya anda akan melakukan kesilapan, tetapi bagaimana anda bangkit daripada kesilapan tersebut. Adalah diharapkan kesilapan hanya sedikit sahaja, tetapi sebahagian besar daripada keputusan adalah betul dan bertepatan. Namun akan terdapatnya ketika disebabkan oleh perubahan keadaan, anda tiba-tiba menyedari bahawa polisi atau keputusan anda adalah tidak tepat. Tetapi sebaik anda menyedari bahawa anda kurang tepat, maka berlaku jujurlah dan maklumkan kepada rakyat.

Anda mesti bercakap benar dan percaya kepada rakyat. Percaya bahawa rakyat adalah bijak, akan menghargai kejujuran, kebenaran dan bertemu dan berkomunikasilah dengan rakyat. Selepas satu jangka masa, sudah tentu anda akan berupaya membina kepercayaan dan keyakinan tersebut dengan rakyat. Paling penting, tepati janji anda. Jika anda berjanji, tunaikan. Satu daripada perkara yang boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan ini ialah jika anda memungkiri janji. Jika anda berjanjikan sesuatu, anda mesti berpegang pada janji dan menunaikannya.

BAHAGIAN 6 : MERITOKRASI 

Pada dasarnya semua orang tahu makna perkataan ini dan prinsip meritrokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor tertentu yang lain.

Contohnya, mereka yang kekurangan, atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik. Sudah tentunya mereka ini memerlukan pertimbangan khas. Namun pada dasarnya, meritrokrasi bukan saja satu prinsip yang mulia, tetapi satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih hebat. Sejak awal lagi saya telah membincangkan tentang budaya kecemerlangan dan satu daripada prinsip budaya kecemerlangan adalah prinsip meritrokrasi. Jika anda memberikan penghargaan berasaskan kerana mereka adalah terbaik, sama ada orang yang terbaik untuk tugasan tersebut atau syarikat terbaik untuk mendapatkan kontrak, maka semua pihak akan menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut. Mereka perlu memberikan yang terbaik. Pada saya setelah menyedari bahawa mereka perlu memberikan yang terbaik, maka semua itu akan menyerlahkan yang terbaik daripada semua orang. Maka itu kita tidak mahu Malaysia tidak memberikan sebaik mungkin sebagai sebuah negara. Melihat kepada Malaysia, menggunakan terma sukan tinju, saya mahu melepaskan tumbukan melebihi had kategori berat badannya. Jika anda menggunakan budaya kecemerlangan dan prinsip meritrokrasi ini, pada saya ia akan menjadi adunan yang diperlukan untuk kita memaksimakan potensi Malaysia.

Tentang langkah kerajaan ke arah meningkatkan meritrokrasi

Ia memang bermakna bahawa kepelbagaian aspek perkhidmatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya sewajarnya dibentuk berdasarkan meritrokrasi. Sebagai contoh, pemerolehan kerajaan. Sewajarnya kita memperkenalkan satu polisi yang memastikan persaingan pembidaan kerana melalui persaingan pembidaan, peluang kita memilih syarikat terbaik untuk tugasan tersebut pada harga terendah dan pada masa yang sama mempunyai kemahiran yang diperakui adalah lebih besar berbanding pemilihan berasaskan tender perundingan, contohnya. Prinsip penswastaan sekali pun, sebahagian daripada permasalahan yang dihadapi tentang asas pengswastaan di masa lalu, ketika kita terlalu kurangnya pengetahuan tentang bagaimana untuk melaksanakan pengswastaan, pada permulaannya kita telah menggunakan prinsip siapa dulu dia dapat. Makanya jika anda mempunyai gagasan anda akan diberi peluang tersebut. Tetapi kenyataannya, memandang kebelakang adalah lebih baik untuk kita mengenal pasti perkhidmatan atau lapangan tertentu yang kita hendak swastakan dan membukanya untuk pembidaan. Seterusnya cadangan terbaik boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Jelaslah terdapat contoh-contoh khusus tentang bagaimana meritrokrasi boleh digunakan.

BAHAGIAN 7 : RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam konteks – contohnya katakanlah jika anda seorang ahli politik. Begitu juga jika anda seorang ahli parlimen. Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri. Dalam Islam, ia adalah konsep Tawaddu`, yakni rendah hati.

Sebagaimana yang anda ketahui di dalam masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk. Contohnya, apabila anda keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli parlimen, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat. Saya sangat menyedari akan keadaan bahawa apabila saya melakukan tugas saya sebagai ahli parlimen, saya sangat selesa dengan keadaan tersebut. Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka. Maka itu pada saya ia adalah satu aset.

Namun begitu, bersikap rendah diri bukanlah sebagai satu petanda kelemahan. Dalam masyarakat tertentu, ia cenderung disalah ertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan dengan orang luar contohnya, adakalanya anda perlu menunjukkan kekuatan anda. Anda perlu memperlihatkan keyakinan kerana apabila anda dilihat sebagai rendah diri pada sudut pandangan mereka, ia dianggap sebagai satu petanda kelemahan. Maka itu saya merasakan ia juga adalah mengikut keadaan, anda mesti sedar bahawa dalam lingkungan masyarakat Malaysia, ia adalah satu aset, tetapi ada waktunya apabila anda berurusan dengan dunia luar anda perlu memperlihatkan kekuatan dan kejayaan anda, tetapi bukanlah dengan cara penindasan.

BAHAGIAN 8 : KESETIAAN

Pada saya kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Dalam sebarang perhubungan, kesetiaan adalah penting. Contohnya sebagai kawan, anda setia kepada kawan anda, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan peribadi antara anda dengan seorang yang lain.

Tetapi saya juga mentafsir kesetiaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya keterlaluan sehingga menjadi kesetiaan membuta tuli. Pada saya di dalam perkhidmatan kerajaan, sebagai contoh, pentadbiran kerajaan, semestinya seseorang itu perlu setia kepada pemimpin. Tetapi seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu juga setia, dalam erti kata perlakuan pemimpin tersebut, komitednya pemimpin kepada tugasnya dan berdedikasi. Kesetiaan juga tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik, tetapi sudah tentu anda hendaklah mengkritik dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan. Saya sudah tentu akan menghargainya, sama ada ianya perhubungan peribadi atau dalam konteks rakan sejawat bahawa akan adanya peluang dan waktu untuk mereka memberikan pandangan yang membina contohnya, malah kritikan yang pada saya adalah diperlukan. Tetapi kesetiaan juga hendaklah disertai dengan keupayaan. Anda tidak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hanya kerana dia setia, tetapi melupakan kenyataan bahawa kesetiaan tanpa kemajuan dan keupayaan adalah tidak mencukupi. Benar, kesetiaan adalah penting, tetapi ia perlu disertai dengan pertimbangan lain juga.

Ya, pada saya telah berlalunya hari-hari bila mana kesetiaan disalah anggap sebagai kepercayaan membuta tuli atau memiliki kuasa penuh dari segi perhubungan peribadi, yang mana anda boleh melakukan apa saja yang anda mahu dan tidak dipertanggungjawabkan. Pada saya itu adalah salah. Pada saya ia adalah merugikan dari segi perhubungan peribadi atau sama ada di dalam kerajaan bahawa tiadanya ruang untuk kritikan membina mahu pun pertentangan pendapat. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan dengan niat yang baik

0 comments:

Post a Comment

JgN kOmeN kaLau tiDak peNting Haha!!~

Related Posts with Thumbnails